Home
About Us
IT Projects
Download
Screen Shots
Training & Courses
Publications
List of References
Clients
Personal Collection of Quotations
House of Thinking & Imagination

FAQ
Feedbacks


Search

Ulasan buku : Komunikasi Berkesan


Laman web asal

http://www.pnm.my/new/melayu/sari/Bil2_2001/sari-p_J.html

Pengulas :
Jaini Onggai
Pustakawan
Bahagian Terbitan Bersiri
Perpustakaan Negara Malaysia
--------------------------------------------------------------------------------
Maimunah Osman. Komunikasi berkesan : hubungan interpersonal.
Kuala Lumpur: INTAN, 2000. 111 ms.

Apakah impak komunikasi kepada perhubungan interpersonal? Ini merupakan persoalan yang telah dibangkitkan oleh penulis dalam bab pendahuluan buku ini. Penulis menjelaskankomunikasi ialah proses penyampaian atau pemindahan mesej dari seorang kepada yang lain. Komunikasi pula merupakan asas kepada perhubungan interpersonal iaitu perhubungan antara seseorang dengan seseorang yang lain.

Mengikut penulis lagi proses komunikasi yang mudah mempunyai beberapa elemen yang mempengaruhi keberkesanannya. Dalam bab 2, penulis telah mengariskan lapan elemen yang harus diberi perhatian dalam proses komunikasi. Kegagalan memberi perhatian pada elemen ini akan menghasilkan impak yang berlainan daripada yang diharapkan. Elemen-elemen tersebut ialah penghantar, mesej, enkod, saluran, penerima, dekod, maklumbalas dan gangguan.

Komunikasi interpersonal tidak akan berkesan tanpa menggunakan deria manusia dengan bijaksana. Ini akan membantu seseorang itu bercakap dengan berkesan, melihat dengan nyata, mendengar secara aktif dan merasa dengan hati akan apa yang didengar atau disampaikan. Deria akan digunakan dengan semaksimumnya hanya setelah manusia kehilangan salah satu daripadanya. Oleh itu, kita dapati orang yang tidak boleh melihat, mempunyai keupayaan hampir serupa dengan yang boleh melihat dengan menggunakan kudrat yang ada. Dalam bab 3, penulis telah menyenaraikan sembilan kemahiran yang perlu diperolehi untuk menghasilkan komunikasi berkesan.

Dalam bab 4, penulis menegaskan pentingnya kemahiran mendengar secara aktif. Mendengar adalah satu asas penting dalam komunikasi. Mendengar bukan sahaja melalui telinga tetapi juga dengan deria lain seperti mata, mulut dan hati. Seseorang yang mendengar tidak semestinya memahami mesej yang disampaikan. Kemahiran mendengar memerlukan seseorang itu menggunakan kesemua derianya. Bagaimanapun, gangguan dan halangan wujud dalam setiap proses pendengaran. Oleh itu, adalah penting untuk mengenalpasti gangguan dan halangan tersebut. Mendengar secara aktif bukan sahaja membantu dalam proses penerimaan mesej tetapi juga apabila hendak menyampaikan mesej. Sebelum penyampaikan mesej, seseorang itu perlu mendengar samada mesejnya akan diterima. Beberapa strategi boleh digunakan untuk mempastikan mesej anda diterima. Penulis mengariskan tiga strategi iaitu persekitaran, mesej (yang hendak disampaikan) dan maklum balas (samada penerima menerima mesej anda).

Perhubungan interpersonal ialah bagaimana kita berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain. Perhubungan interpersonal adalah perhubungan dan komunikasi antara individu yang berbeza latarbelakang dan pengalaman tersendiri. Pada amnya komunikasi dan perhubungan interpersonal mempunyai objektif mengurangkan sikap saling tidak mengenali dan tidak mempercayai antara satu sama lain. Kebanyakan masalah timbul di rumah, tempat kerja atau dalam masyarakat adalah berpunca daripada perselisihan faham, pertengkaran, tidak sesuai dan berbagai lagi. Semua berpunca daripada pertembungan sikap, peribadi dan kelakuan manusia yang berbeza. Oleh itu amat penting bagi setiap orang untuk mengetahui cara menjalin perhubungan yang baik antara individu.

Sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada salah faham, konflik dan ketegangan dalam perhubungan antara manusia. Dalam bab 6, penulis menerangkan cara mengendalikan masalah yang timbul dalam komunikasi dan perhubungan interpersonal. Beberapa masalah yang dikenalpasti dan dibincangkan oleh penulis ialah:

konflik ? pertembungan dan pertentangan antara dua orang yang berbeza
mengendalikan rungutan dan aduan
mengendalikan kemarahan orang
mengendalikan orang yang bersikap autokratik
mengendalikan orang yang menikam dari belakang
mengendalikan orang yang sentiasa mencari salah orang lain

Gaya penulisan buku ini adalah ringkas dan mudah difahami. Penulis telah menyelitkan beberapa ilustrasi dalam bentuk kartun dalam menyampaikan maksudnya. Penulis juga menggunakan contoh-contoh daripada kehidupan seharian kita. Oleh itu buku ini sesuai dibaca oleh setiap lapisan masyarakat yang ingin meningkatkan keberkesanan komunikasi mereka. Penulis buku ini, Puan Maimunah Osman bertugas di Pusat Kepimpinan Lanjutan dan Pembangunan Eksekutif, INTAN sebagai Penyelaras Projek Kanan.




Copyright © Menara Technology & Training 2004-2005.  All rights reserved.

Powered by Mac OS X Server